TENGKU AMIRUL MAHU TAMBAH KOLEKSI JUARA

TENGKU AMIRUL MAHU TAMBAH KOLEKSI JUARA

Sekalipun sudah mengesahkan status sebagai juara keseluruhan kelas CP115, Tengku Amirul Haffirudin tidak memandang mudah saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan pada 17 dan 18 November ini.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu sebaliknya terus dahagakan kemenangan sekalipun telah bergelar juara lebih awal setelah mengumpul 188 mata hasil dari tujuh kemenangan dan satu di tempat keempat sepanjang lapan pusingan lepas jauh mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez di kedudukan kedua dengan 116 mata.

Selain gelaran keseluruhan individu, pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang turut mengesahkan status sebagai juara keseleluruhan berpasukan dengan mengumpul 304 mata ketika ini.

“Misi saya adalah untuk terus meraih kemenangan pada baki dua perlumbaan terakhir musim ini, dan pada masa sama merancang strategi untuk membantu Fareez kekal di tangga kedua keseluruhan ketika ini,” jelas Tengku Amirul.

“Walaupun sudah bergelar juara keseluruhan, ini tidak bermakna saya memandang mudah saingan minggu ini, sebaliknya saya mempunyai misi untuk menamatkan musim ini dengan sembilan kemenangan.”

Menurut pemilik pasukan, Pang Yoke You (YY Pang), Tengku Amirul akan kekal beraksi dalam saingan CP115 pada baki dua perlumbaan terakhir musim ini. “Kami mahu dia terus bersaing merebut kemenangan. Tentang saingan kelas CP150, semuanya akan diputuskan kemudian, bukannya ketika ini.”

No Comments

Post A Comment