28 Okt TENGKU AMIRUL JUARA CP115 2018
Tengku Amirul Haffirudin mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan CP115 dengan bergaya setelah menjuarai perlumbaan akhir pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.
Kemenangan itu juga merupakan kemenangan ketujuh dari lapan perlumbaan buat pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing itu untuk mengumpul 188 mata keseluruhan, 72 mata mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez yang mengumpul 116 mata dengan perlumbaan hanya berbaki dua pusingan sahaja lagi.
Dalam aksi perlumbaan akhir, Tengku Amirul yang bermula dari petak ketujuh menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13’58.786s mengatasi Md Fareez dengan kelebihan 0.326s manakala Md Haziq Nd Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) ketiga dengan masa 13’59.363s.
“Pada asalnya, saya hanya cuba untuk mengutip mata kerana hanya memerlukan lapan mata untuk mengesahkan gelaran,” jelas Tengku Amirul.
“Namun selepas insiden melibatkan pelumba kelompok hadapan, saya berjaya merapatkan kedudukan dengan pelumba di hadapan. Menyedari ada peluang untuk menamatkan saingan di atas podium, saya mencari ruang untuk memintas dan memenangi perlumbaan.”
Selain gelaran individu, pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang turut mengesahkan gelaran sebagai juara keseluruhan berpasukan kategori CP115 dengan mengumpul 304 mata.
“Tahun ini sangat istimewa kepada saya kerana akhirnya berjaya memegang gelaran CP115 selepas beberapa tahun mencuba. Selepas ini saya berhasrat untuk bersaing dalam kelas CP150 jika diberikan peluang oleh pasukan pada musim depan.”
Sementara itu, pendahulu CP150, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) terpaksa menunggu pusingan akan datang untuk mengesahkan gelaran keseluruhan apabila menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pencabar utama, Kasma Daniel Kasmayuddin yang menjuarai perlumbaan dengan masa keseluruhan 17’25.990s.
Afif yang turut menerima tentangan sengit daripada rakan sepasukan Kasma, Md Akid Aziz menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa 17’27.456s manakala Akid ketiga dengan masa 17’27.990s.
No Comments