28 Okt PELUANG MUNCUL JUARA KESELURUHAN TIDAK JEJAS FOKUS AFIF
Peluang untuk mengesahkan gelaran keseluruhan pada minggu ini tidak mengganggu tumpuan pendahulu keseluruhan, Ahmad Afif Amran untuk kekal memberikan aksi terbaik dalam sesi kelayakan kelas CP150 pada pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Batu Kawan, Pualu Pinang, hari ini.
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu mencatat masa ketiga terpantas dengan masa 52.111s di belakang Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) yang mencatat masa terpantas buat kali ketujuh pada musim ini dengan masa 51.903s diikuti Md Azhar Abdul Jalil (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) dengan masa 52.010s.
Pencabar utama Afif, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) mencatat masa keempat terpantas dengan masa 52.194s diikuti Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing) kelima, 52.372s.
Afif yang kini berkelebihan 49 mata ke atas Kasma hanya perlu menamatkan saingan di hadapan juara bertahan itu dan juga rakan sepasukan, Md Hafiz Nor Azman untuk mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan bagi musim 2018.
“Hujan lebat yang turun di sebelah petang mengganggu aksi sebenar pelumba-pelumba. Saya keluar ke litar dengan sasaran hanya untuk memastikan dapat layak ke sesi Superpole esok dan tidak mahu mengambil sebarang risiko memandangkan permukaan litar yang licin,” jelas Afif.
Sementara itu, dua pelumba Elf Koyoko Honda KC Racing, Md Syafiq Rosli dan Md Hafizuddin Azahar menduduki kelompok terpantas kelas CP115. Md Syafik mencatat masa terpantas dengan masa 57.984s manakala Hafizuddin ketiga dengan masa 58.075s. Md Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) mencatat masa kedua terpantas dengan catatan 58.010s3.
Dalam saingan WIRA KBS, Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) muncul pelumba terpantas dengan catatan 57.111s diikuti Md Faiz Zekri Sabri (ONEXOX Racing Team), 57.613s dan Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH Racing) ketiga dengan masa 57.684s.
No Comments