MCPRD01: ADIB TAK MAHU KESILAPAN BERULANG

MCPRD01: ADIB TAK MAHU KESILAPAN BERULANG

Md Adib Rosley mahu memadam memori pahit yang dialami pada musim lepas apabila bakal turun memulakan saingan pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2016 di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor pada 12 dan 13 Mac ini.

Adib terlepas peluang untuk meraih gelaran juara sekalipun muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dalam saingan musim lepas apabila pelumba YY Pang Racing itu jatuh ke kedudukan kesembilan setelah dikenakan penalti 30 saat akibat kesalahan melanggar arahan bendera kuning sewaktu perlumbaan.

Positif dengan keputusan tersebut, Adib melihat perlumbaan minggu ini sebagai medan untuk menebus kegagalan tersebut namun akui saingan musim ini dijangka bertambah sengit berbanding musim 2015.

“Bentuk litar yang disediakan di MAEPS ini begitu unik dan semua peluma memperkatakan tentangnya terutama dengan laluan berbukit yang tidak ada di tempat lain. Tahun lepas, semua pasukan tidak mempunyai sebarang maklumat untuk persiapan jentera sehinggalah kami turun ke litar. Pasukan kami (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) mempunyai kelebihan kerana cepat menyesuaikan diri dan mendapatkan jentera terpantas di litar,” jelas Adib.

“Kami tak boleh anggap situasi serupa pada minggu ini. Semua pasukan lebih bersedia namun pada masa sama kita tidak tahu kemampuan pasukan-pasukan kerana baru perlumbaan pertama untuk musim ini. Semuanya akan diketahui sebaik pelumba-pelumba keluar ke litar untuk sesi latihan pertama.”

Bagaimanapun, Adid tetap optimis mampu meraih podium di litar sepanjang 1.11km itu.

“Saya yakin dengan keupayaan jurutera pasukan. Sepanjang musim rehat ini, saya melihat mereka terus bekerja dan melakukan persiapan untuk kekal kompetitif. Tahun lepas, jentera kami bukan sahaja pantas, malah antara jentera yang paling stabil dari segi kawalan dan ketahanan.”

“Saya jadikan perlumbaan musim lepas sebagai satu pengajaran agar lebih berhati-hati. Saya akan membuka mata dan memerhati keadaan sekeliling supaya tidak melakukan kesilapan lagi jika ada bendera dikibarkan,” janji Adib.

Parkir dan masuk adalah percuma kepada pengunjung-pengunjung Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Bagi yang terlepas aksi di Litar MAEPS, saksikan siaran langsung perlumbaan di TV1 pada jam 2 petang hingga 4.30 petang.

Article courtesy of malaysiancubprix.com

No Comments

Post A Comment