15 Nov MAJU MOTOR SAHKAN STATUS PASUKAN TERBAIK NEGARA
Menjelang pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Dataran Bandar Penawar, Johor pada 18 dan 19 November ini, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor membuktikan kedudukan mereka selaku pasukan terbaik negara apabila telahpun mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan berpasukan dan individu.
Kejayaan ini adalah kejayaan tahun kedua berturut-turut mereka menyapu bersih kesemua piala utama selepas turut melakukannya pada musim 2016. Sebaik tamat perlumbaan minggu ini, Kasma Daniel Kasmayuddin akan membawa pulang gelaran keseluruhan kelas perdana yang kedua selepas memenangi gelaran CP130 pada musim 2016 manakala Mohd Akid Aziz berjaya memepertahankan gelaran keseluruhan CP115 buat tahun kedua berturut-turut.
Pencapaian ini meneruskan tradisi cemerlang pasukan Maju Motor dalam sejarah 24 tahun Kejuaraan Cub Prix dimana pasukan ini telah meraih 22 gelaran individu dan berpasukan termasuk di peringkat Asia.
Pemilik dan pengurus pasukan, Yong Ying Hoe berkata kejayaan mendominasi kedua-dua kategori sejak beberapa tahun kebelakangan ini dicapai atas kerjasama banyak pihak.
“Di atas litar nampak seperti pelumba kami melakukan dengan mudah. Hakikatnya, bukan mudah untuk meraih apa yang kami ada pada hari ini. Kerjasama semua pihak dari segi pengurusan, pelumba, rakan penaja seperti pengeluar Yamaha, rakan teknikal dan pembekal produk alat ganti berprestasi tinggi UMA Racing dan Racing Boy, PETRONAS serta lain-lain banyak membantu kami membangunkan jentera yang terbaik. Gabungan pelumba berpengalaman dan pelumba muda juga menjadi faktor penting,” katanya.
Pasukan ini mempunyai satu lagi misi penting untuk memenangi gelaran individu kategori Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang akan berlangsung di Thailand, awal Disember nanti manakala telahpun mengesahkan gelaran mereka sebagai pasukan terbaik kategori tersebut.
Sebagai rekod, Chia Tuck Cheong merupakan pelumba pertama yang memenangi gelaran keseluruhan buat pasukan Maju Motor apabila muncul juara Expert pada tahun 1997 diikuti Md Faisal Yahya pada tahun berikutnya. Chia sekali lagi memenangi gelaran keseluruhan pada tahun 2001 manakala K. Sivanesan muncul juara pada tahun 2004.
Gelaran juara keseluruhan berpasukan pertama dimenangi pada tahun 2006 bersama-sama Md Suhadi Ali Rahmat yang turut memenangi gelaran Expert. Ahmad Fazli Sham membantu pasukan Maju Motor meraih gelaran hatrik individu dan berpasukan pada tahun 2007 dan 2008 ketika bergandingan bersama Ahmad Fazrul Sham.
Selepas perlumbaan memasuki era empat lejang, persaingan diantara pasukan bertanding semakin sengit menyaksikan Maju Motor tidak memenangi gelaran keseluruhan dari tahun 2009 sehinggalah Kasma muncul juara keseluruhan CP115 pada tahun 2015 diikuti gelaran keseluruhan CP130 dan CP150 pada tahun berikutnya.
No Comments