03 Mac CUB PRIX 2017 MUSIM KE-24 AKAN LEBIH MENARIK DAN MENCABAR
Saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS memasuki musim ke-24 tahun ini. Ia juga menandakan era baharu dengan pengenalan kategori CP150 sebagai kelas perdana bagi menggantikan CP130, yang bakal menyaksikan perlumbaan yang menggunakan jentera lebih berteknologi dan berkuasa bermula musim 2017 ini.
Kategori baharu ini telah mendapat sambutan positif daripada pasukan-pasukan, pelumba-pelumba dan juga peminat-peminat sukan permotoran negara sejak diumumkan pengenalannya pada tahun lepas. Pertukaran kategori ini merupakan satu cabaran besar kepada pasukan dan pelumba, memandangkan kategori ini menawarkan cabaran baharu dan penggunaan teknologi sistem suntikan bahan api (Injection) dan Unit Kawalan Elektronik (ECU) menggunakan perisian komputer.
“Pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba memerlukan masa untuk mendapatkan kuasa jentera ke tahap optimum dengan penggunaan teknolodi baharu ini, manakala peraturan teknikal perlumbaan juga akan terus dipertingkatkan dan diperbaharui pada masa akan datang untuk memastikan perlumbaan ini terus kompetitif,” kata Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg selaku penganjur kejohanan.
Persaingan diantara dua jentera Supercub, Honda RS150R dan Yamaha 15ZR dalam kategori CP150 dijangka menjadi perhatian menjelang perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 yang akan berlangsung di Temerloh, Pahang pada 4 dan 5 Mac ini.
Dalam sesi ujian pra-musim yang berlangsung di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC) baru-baru ini, prestasi kedua-dua jentera ini agak seimbang dengan tujuh pelumba terpantas mencatat masa yang tidak jauh berbeza.
Pendatang baharu kelas perdana, Onexox TKKR Racing, mengungguli sesi apabila naib juara kelas Wira 2016, Md Helmi Azman muncul pelumba terpantas dengan catatan 1’02.535s diikuti juara CP130 2017, Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Yamaha Maju Motor) yang mencatat masa 1’02.624s. Pelumba baharu pasukan Hi-Rev Rapido SCK Racing, Fakhrusy Syakirin Rostam melakukan catatan ketiga terpantas dengan masa 1’02.910s.
Bintang Cub Prix, Kasma Daniel Kasmayuddin yang merupakan Juara Kelas Perdana musim lepas tentunya akan berusaha untuk mempertahankan gelarannya dan pada masa sama bakal melangkah ke saingan antarabangsa dalam Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia CEV.
Kejuaraan Cub Prix telah diperkenalkan pada tahun 1994 dan kini telah membesar menjadi siri perlumbaan terbesar negara. Ia bukan sahaja menjadi pentas untuk melahirkan pelumba berbakat negara, sebaliknya turut menjadi landasan ujian buat pengeluar-pengeluar motosikal seperti Honda, Yamaha, dan Modenas serta pengeluar produk berkaitan motosikal untuk mempromosikan dan memasarkan produk-produk mereka. Aktiviti di kawasan promosi merupakan perkara penting untuk menarik kehadiran penonton. Menyedari keperluan semua pengunjung, pihak Cub Prix bukan hanya menarik minat pengeluar motosikal untuk berada di kawasan promosi, sebaliknya pelbagai barangan dan aktiviti yang sesuai untuk semua termasuk keluarga.
Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai barangan eksklusif seperti produk cenderamata rasmi Kejuaraan Cub Prix, dan pelbagai produk menarik dengan harga istimewa di khemah-khemah promosi dan pelbagai hadiah menarik turut menanti pengunjung.
Selain perlumbaan kategori terbuka CP150 dan CP115, kejohanan ini juga menyaksikan persaingan bakat muda dalam kategori Wira, manakala kategori Pro-Am pula memberi peluang kepada pelumba persendirian yang berminat untuk menceburkan diri dalam sukan ini. Tak kurang pentingnya merupakan sokongan pengeluar seperti Yamaha dan Honda dalam menganjurkan perlumbaan satu-jenama (One-make) yang bertindak seakan akademi latihan perlumbaan bagi mencungkil bakat bakat muda dalam sukan ini.
Pusingan pembukaan musim 2017 akan berlangsung hujung minggu ini di Temerloh, Pahang.
No Comments