18 Jul MUSIM 2018 LEBIH SENGIT DAN MENCABAR
Juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin akur saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2018 lebih mencabar dalam usahanya untuk mempertahankan gelaran keseluruhan yang dimenangi pada musim lepas.
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu memulakan musim 2018 dengan bergaya apabila muncul juara sewaktu pusingan pembukaan di Tangkak, Johor namun terlepas gelaran juara kepada pendahulu ketika ini, Ahmad Afif Amran yang memenangi kedua-dua perlumbaan akhir pada pusingan berikutnya.
Selepas tiga pusingan, Afif kini berada di tangga teratas dengan 70 mata manakala Kasma di kedudukan kedua dengan 61 mata diikuti rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman di kedudukan ketiga dengan 29 mata.
Menjelang perlumbaan pusingan keempat di Temerloh, Pahang pada sabtu dan Ahad ini, Kasma mula mencongak strategi baharu untuk kembali mendominasi perlumbaan sepertimana ketika meraih lima kemenangan daripada tujuh perlumbaan akhir yang disertai pada tahun 2017.
“Persaingan pada musim ini sangat sengit jika dibandingkan musim lepas. Pelumba dan pasukan lain sudah mula mendapat rentak mereka dan mampu untuk menyaingi kelajuan jentera kami. Lihat sahaja bagaimana keupayaan Afif untuk mengekori dan memintas saya pada perlumbaan lepas,” jelas Kasma.
“Selain Afif, cabaran sengit juga datang daripada rakan sepasukan, Md Akid Aziz dan juga Hafiz. Jika sebelum ini saya hanya cuba untuk berada di depan dan menjarakkan diri sejauh mungkin dengan pelumba lain dari awal perlumbaan, nampaknya saya perlu mengatur strategi lain juga selepas ini.”
No Comments