MCPRD03: KASMA TAWAN PUSINGAN 3 CUB PRIX KANGAR

MCPRD03: KASMA TAWAN PUSINGAN 3 CUB PRIX KANGAR

Pelumba 16 tahun, Kasma Daniel Kasmayudin meraih kemenangan kedua pada musim ini setelah menamatkan 18 pusingan perlumbaan kategori CP130 dengan masa keseluruhan 12’57.333s pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berakhir di Kangar, Perlis, Ahad lepas.

Bermula dari petak pertama, pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu bermula dengan baik namun ketinggalan kepada Md Adib Rosley (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) yang mendahului kedudukan sehingga ke pusingan kelima.

Namun Kasma yang mengekori di belakang berjaya memanfaatkan kepantasan jentera untuk memintas dan seterusnya mendahului kedudukan sehingga ke garisan penamat.

Adib menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan masa 12’58.889s manakala Hafiz Nor Azman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) berpuas hati di kedudukan ketiga dengan masa 12’59.201s.

“Permulaan saya tidak begitu baik. Saya terlepas kedudukan pendahulu kepada Adib namun menggunakan peluang mengekori di belakang untuk melihat keupayaan jentera Adib. Saya sedar jentera Yamaha saya mempunyai kelebihan dan mencari ruang untuk memintas seterusnya memenangi perlumbaan. Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor kerana menyediakan jentera terbaik,” jelas Kasma.

Sementara itu, rakan sepasukan Kasma, Ahmad Fazli Sham yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan dengan 58 mata manakala Kasma naik ke tangga kedua dengan 50 mata diikuti Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) ketiga dengan 39 mata.

Dominasi Kasma dan Fazli sepanjang tiga pusingan ini juga meletakkan pasukan mereka selesa di tangga teratas berpasukan dengan 118 mata, 40 mata mengatasi Motul Zeneos Yamaha YY Pang.

Siangan kelas CP115 menjadi milik Tengku Amirul Haffirudin yang telah meraih tiga podium berturut-turut setelah menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 11’05.122s.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu mengatasi pelumba PETRONAS Yamaha CKJ, Ahmad Syukran Aizat yang berada di kedudukan kedua dengan masa 11’08.604s diikuti Md Akid Aziz (PETRONAS Yamaha Maju Motor) di tempat ketiga dengan masa 11’15.373s.

Tiga podium yang diraih membantu Tengku Amirul mendahului kedudukan dengan 70 mata diikuti Md Harith Farhan Baharin (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) kedua dengan 51 mata manakala Md Fareez Afeez (IUGB AFB Tech Racing) ketiga dengan 38 mata.

Saingan kelas Wira menyaksikan pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing, Md Shafiq Ezzariq meraih kemenangan hatrik setelah mendominasi 12 pusingan perlumbaan dengan selesa apabila menamatkan perlumbaan bersendirian dengan masa 9.02.042s.

Md Helmi Azman (IUGB AFB Tech Racing) dan Md Idil Fitri Mahadi (Zeneos Yamaha Racing) di kedudukan kedua dan ketiga, masing-masing dengan masa 9’03.221s dan 9’08.570s.

Shafiq kekal di tangga teratas dengan 75 mata maksimum diikuti rakan sepasukan, Saiful Azhary Muhamad kedua dengan 34 mata dan Helmi ketiga, 33 mata.

Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 akan berlangsung di Pasir Mas, Kelantan pada 21 dan 22 Mei ini.

Article courtesy of malaysiancubprix.com

No Comments

Post A Comment