MCPRD02: SUPER SIRI YAMAHA: FAIZ BERI TENTANGAN SENGIT

MCPRD02: SUPER SIRI YAMAHA: FAIZ BERI TENTANGAN SENGIT

Hajat Mohd Fadlyshah Redzuan mahu mengekalkan rentak kemenangannya tidak kesampaian apabila Mohd Faiz Zekri Sabri berjaya memenangi perlumbaan pusingan kedua kategori Super Siri Yamaha PETRONAS.
Perlumbaan yang berlangsung di perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang ini menyaksikan pelumba beraksi di atas litar yang licin apabila hujan turun sebaik sahaja para pelumba bersedia memulakan perlumbaan akhir.

Faiz yang pada awalnya berdepan tentangan sengit daripada Fadlyshah dan Mohd Akmal Abd Halim bagaimanapun berjaya mengawal keadaan walaupun beraksi dengan berhati-hati ekoran litar basah.

“Kami tidak menjangkakan untuk berlumba di atas litar yang basah walaupun rasa lebih gementar saya tetap mencuba yang terbaik.

“Saya begitu bersyukur dengan kemenangan pertama ini dan mahu terus memperolehi kemenangan supaya dapat mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu,” kata Faiz.

Mencatatkan masa 11:14.603 saat, Faiz mendominasi 10 pusingan perlumbaan sekaligus mengutip 25 mata pertamanya bagi musim ini dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu keseluruhan dengan 45 mata.

Sementara itu walaupun kecewa gagal mengekalkan posisi pendahulu pada awal perlumbaan, Fadlyshah akur mengutip 16 mata dengan kemenangan di tempat ketiga setelah mencatatakan masa 11:19.371 saat.

“Saya agak kecewa tetapi turut gembira dengan kemenangan ini.

“Pada awal perlumbaan memang saya mendahului namun apabila sampai di selekoh pertama saya menjadi kurang yakin dan memperlahankan jentera kemudian di pintas oleh pelumba lain,” kata Fadlyshah.

Fadlyshah kini menghuni kedudukan kedua keseluruhan dengan 41 mata manakala Akmal yang meraih kemenangan perlumbaan tempat kedua berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 24 mata.

Article courtesy of malaysiancubprix.com

No Comments

Post A Comment