MCPRD01: KASMA KETEPI PELUMBA SENIOR

MCPRD01: KASMA KETEPI PELUMBA SENIOR

Muncul juara pada penampilan pertama kelas perdana CP130.

Pelumba muda berbakat, Kasma Daniel Kasmayudin menepati ramalan mampu mencipta kejutan dalam saingan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 apabila berjaya muncul juara pada penampilan pertamanya dalam kelas tersebut di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, hari ini.

Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu meneruskan rentetan kejayaan cemerlang memenangi gelaran CP115 pada musim lepas apabila selesa mendahului keseluruhan perlumbaan sekaligus berjaya mengetepikan cabaran rakan-rakan senior termasuk rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham yang menamatkan saingan di tempat kedua.

Sementara itu, Md Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) yang mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa, semalam menamatkan perlumbaan di tempat ketiga setelah berjaya mengetepikan cabaran sengit yang diberikan Abd Muhaimin Roslan dan Mohd Izzat Zaidi di sepanjang perlumbaan.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini meskipun saya jangkakan persaingan yang lebih sengit. Mungkin ini disebabkan beberapa insiden di permulaan perlumbaan membantu saya untuk menjarakkan diri dengan pelumba lain dari awal lagi manakala persaingan sengit beberapa pelumba di belakang membantu saya untuk terus bersendirian sehingga ke garisan penamat,” jelas Kasma yang akan menginjak ke usia 16 tahun pada tahun ini.

Tambahnya, “Saya berterima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera yang baik dan juga mempercayai kemampuan saya. Kemenangan ini tidak menjadikan saya selesa sebaliknya perlu bekerja lebih keras.”

Menyentuh tentang cabaran pusingan kedua di Pulau Pinang April depan, Kasma berkata,”Saingan pasti berbeza, tidak seperti hari ini. Pasukan lain pasti akan lebih bersedia. Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah untuk saya memulakan perlumbaan dari barisan depan,” tambahnya.

Article courtesy of malaysiancubprix.com 

No Comments

Post A Comment