21 Sep KASMA BURU PODIUM DI KANGAR
Kasma Daniel Kasmayuddin belum mengalah dan berazam untuk mengakhiri episod malang sepanjang dua pusingan lepas apabila turun ke litar bagi menghadapi saingan pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, Sabtu dan Ahad ini.
Juara bertahan CP150 dari pasukan PETRONAS SPrinta Yamaha Maju Motor itu memulakan musim 2018 dengan cemerlang apabila meraih kemenangan sewaktu pusingan pembukaan di Tangkak, Johor awal April lepas dan berjaya mengekalkan momentum podium pada perlumbaan berikutnya.
Namun, insiden kemalangan pada Pusingan 4 di Temerloh dan pusingan lepas di Teluk Intan menyaksikan Kasma gagal untuk menamatkan saingan di kelompok depan sekaligus kini sekadar menghuni tangga ketiga keseluruhan dengan 70 mata.
Kedudukan pendahulu setakat ini menjadi milik Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) dengan 115 mata diikuti rakan sepasukan, Mohd Hafiz Nor Azman dengan 74 mata.
“Keputusan ketika ini tidak menggambarkan prestasi kami secara keseluruhan. Kami masih kekal kompetitif namun tidak dinafikan persaingan musim ini jauh lebih sengit berbanding musim lepas,” jelas Kasma.
Tambahnya, “Nasib saya tidak begitu baik pada dua perlumbaan lepas. Di Temerloh, saya terjatuh dan berjaya bangkit untuk mengejar dan tamat di kedudukan ketujuh. Begitu juga di Teluk Intan. Saya terjatuh dari awal perlumbaan lagi, walaupun berjaya menyambung kembali perlumbaan, jentera saya mengalami masalah dan tidak mampu mengejar pelumba di depan.
“Masih terlalu awal uuntuk saya mengalah. Saingan masih panjang dan apa saja boleh berlaku. Fokus utama saya adalah untuk kembali ke podium minggu ini.”
Sebagai rekod, Kasma merupakan pemenang kategori CP130 ketika kali terakhir perlumbaan berlangsung di Kangar pada tahun 2016.
No Comments