04 Okt PELUANG TERBUKA DI TERENGGANU
Pendahulu keseluruhan CP150, Ahmad Afif Amran menyimpan hasrat untuk menjuarai perlumbaan pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Pri AAM Malaysia PETRONAS sekaligus melebarkan jurang pungutan mata di litar Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat dan Sabtu ini.
Keinginan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu ditambah dengan rekod terdahulu yang menyaksikan pencapaian terbaiknya hanya sebagai naib juara dalam kelas CP115 pada tahun 2013 dan ketiga dalam kategori CP130 pada tahun 2014.
“Memang saya memasang impian untuk menang di sini kerana sepanjang beraksi di dalam Kejuaraan Cub Prix, saya tidak pernah muncul juara di Terengganu,” jelas pelumba kelahiran Dungun itu.
Tambahnya, “Namun saya rasakan perlumbaan minggu ini lebih mencabar dan peluang juga lebih terbuka kerana kali terakhir kami berlumba di sini ialah pada tahun 2015 dan masih menggunakan jentera CP130. Semua pasukan tidak mempunyai data baharu untuk perlumbaan kali ini selain faktor keadaan permukaan litar juga mungkin sudah berubah.
“Walaupun inginkan gelaran juara, pada masa sama saya juga tidak boleh terlalu mengambil risiko. Saya juga perlu memikirkan strategi terbaik dan memberi keutamaan untuk memungut mata sebanyak mungkin bagi mempertahankan kedudukan ketika ini. Perlumbaan sudah semakin ke penghujung musim, saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan mudah ketika ini.”
Selepas enam pusingan, Afif kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 135 mata, 40 mata mengatasi juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) di kedudukan kedua dengan 95 mata manakala rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman ketiga dengan 90 mata.
No Comments