AFIF BELUM MENGALAH

AFIF BELUM MENGALAH

Ahmad Afif Amran belum mahu mengalah meskipun akui tugas sukar untuk menghalang Kasma Daniel Kasmayudin daripada memegang gelaran keseluruhan kategori CP150 pada saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang, 4 dan 5 November ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ itu berada di tangga kedua keseluruhan dengan 100 mata, 25 mata di belakang pendahulu, Kasma (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dan pencabarnya itu bakal dinobatkan selaku juara keseluruhan seandainya berjaya menamatkan perlumbaan di hadapan Afif, minggu ini.

“Semua tahu Kasma seorang pelumba yang pantas dan bukan mudah untuk menewaskannya. Namun apa sahaja boleh berlaku di dalam litar, contohnya seperti pusingan lepas apabila Kasma mengalami kemalangan, begitu juga dengan saya dan kami sama-sama kehilangan banyak mata di Jempol,” jelas Afif.

“Ini membuktikan yang saingan masih belum tamat selagi kami belum melintasi garisan penamat. Apa yang penting, saya perlu fokus untuk memberi aksi terbaik dan cuba untuk menewaskan Kasma. Jika gagal, sekurang-kurangnya saya sudah memberikan yang terbaik di atas litar dan sasaran saya untuk tamat di kelompok lima pelumba terbaik di Batu kawan untuk mengekalkan kedudukan sebagai naib juara keseluruhan.”

Pada masa sama pelumba berusia 22 tahun itu perlu berhati-hati dengan cabaran dua lagi rakan sepasukan Kasma iaitu Ahmad Fazli Sham dan Mohd Ramdan Rosli yang mengekori di kedudukan ketiga dan keempat, masing-masing dengan 75 mata dan 70 mata.

“Tugas saya pada minggu ini agak berat. Saya perlu merancang strategi terbaik. Selain berusaha untuk mengekang Kasma, saya juga perlu berwaspada dengan Fazli dan Ramdan kerana mereka boleh mengancam kedudukan saya ketika ini.

“Saya tidak boleh melakukan kesilapan sama seperti di Jempol apabila hanya memungut satu mata sahaja. Pada masa sama saya juga memerlukan rakan sepasukan untuk membantu saya menamatkan saingan di podium. Dari segi jentera, saya yakin jurutera pasukan telah bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik.”

Kedudukan Keseluruhan CP150

  1. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 125 mata
  2. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 100 mata
  3. Ahmad Fazli Sham (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 75 mata
  4. Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 70 mata
  5. Md Adib Rosley (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 67 mata
  6. Md Azhar Abd Jalil (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 57 mata
  7. Md Iqbal Amri Abd Malek (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 55 mata
  8. Fakhrusy Syakirin Rostam (JHR) SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing 52 mata
  9. Md Fitri Ashraff Razali (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 51 mata
  10. Md Zaqhwan Zaidi (SGR) GiVi Honda Yuzy Racing Team 44 mata

Anugerah Berpasukan

  1. PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 272 mata
  2. PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ 172 mata
  3. Motul Zeneos Yamaha YY Pang 149 mata
  4. SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing 80 mata
  5. Onexox TKKR Racing 66 mata
  6. Givi Honda Yuzy Racing 54 mata
No Comments

Post A Comment